PETALING JAYA 21 Feb. - Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic Malaysia) tidak akan terlibat di dalam proses pembuangan 17,000 pekerja seperti yang diumumkan oleh syarikat induknya awal bulan ini, ekoran kerugian bersih yang bakal dicatatkan oleh pengeluar peralatan elektronik dari Jepun itu.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Jeff Lee sebaliknya berkata, Panasonic Malaysia sendiri menghadapi kekurangan tenaga pekerja yang perlu dihadapi terlebih dahulu.
Beliau berkata, pembuangan pekerja yang diumumkan itu sebenarnya berkait rapat hasil daripada strategi perniagaan Panasonic yang mengambil alih operasi sebuah lagi syarikat elektronik dari Jepun iaitu Sanyo Electric, tahun lalu.
"Keputusan itu barangkali diambil bagi menyusun kembali perniagaan Panasonic dan Sanyo khususnya di mana kedua-dua syarikat mengeluarkan produk yang sama dan bersaingan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Mentol LED Panasonic ke pasaran Malaysia di sini, hari ini.
Awal bulan ini, Panasonic induk mengumumkan tindakan pembuangan pekerja secara berperingkat sehingga bulan depan itu, dilakukan kerana syarikat menjangka menghadapi kerugian bersih mencecah sehingga RM30 bilion bagi tahun kewangan semasa yang akan berakhir pada 31 Mac depan.
Antara faktor kerugian itu adalah gangguan bekalan dan pengeluaran akibat bencana banjir di Thailand dan tsunami di Jepun tahun lalu.
Bagaimanapun, Lee yakin Panasonic Malaysia masih mampu mengekalkan unjuran perolehannya sekitar RM1.9 bilion bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac depan.
Dalam majlis tersebut, Panasonic Malaysia melancarkan empat jenis mentol LED di mana penggunaannya mampu menjimatkan tenaga sehingga 80 peratus berbanding mentol biasa, tanpa menjejaskan kadar pencahayaannya.
Empat kategori mentol itu adalah Standard, Full Light Distribution, Kaca Jernih dan Halogen.
Kata Lee, kesemua mentol itu mempunyai jangka hayat sehingga 40 tahun atau 40,000 jam, jika digunakan secara purata 2.7 jam sehari.
Setiap satu mentol berharga serendah RM80 sehingga RM160 berbeza mengikut kategori.
Panasonic Malaysia menjangka mampu mencatatkan jualan sebanyak RM3 juta melalui penjualan kesemua mentol tersebut bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2013, sekali gus berupaya meningkatkan penguasaan di dalam pasaran mentol LED kepada 30 peratus berbanding dua peratus ketika ini.
Sumber : Utusan Malaysia, 22/02/2012




