1Malaysia

  

1KSM

  

Facebook

 
  
  
 
 
 

 

Perak tangani pengangguran PDF Cetak E-mail
Friday, 27 February 2009

 

IPOH 26 Feb. - Kerajaan Perak akan menubuhkan pasukan khas bagi membantu menangani masalah pengangguran di negeri ini berikutan ramai pekerja swasta terpaksa diberhentikan akibat krisis kegawatan ekonomi.

Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, kerajaan negeri berasa bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan.

Beliau berkata, pasukan khas itu dianggotai oleh ahli-ahli persatuan sekerja dan pegawai-pegawai dari Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Buruh serta Jabatan Tenaga Rakyat.

''Tujuan penubuhan pasukan khas ini ialah mencari jalan penyelesaian dan pendekatan terbaik untuk menyelesaikan masalah pembuangan pekerja swasta di negeri ini.

''Antara pendekatan diambil ialah memberi khidmat nasihat, mengajar ilmu kemahiran dan mengenal pasti peluang kerja kosong untuk ditawarkan kepada pekerja yang diberhentikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan veteran UMNO di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Zambry berkata, meskipun kerajaan negeri tidak mempunyai statistik jumlah pekerja yang diberhentikan tetapi usaha menanganinya perlu segera dilakukan memandangkan masalah tersebut kini menjadi fenomena dunia yang turut berlaku di Perak.

''Jadi adalah penting kita menubuhkan pasukan khas yang boleh duduk semeja membincangkan jalan penyelesaian dan merangka pelan bersesuaian untuk membantu rakyat yang hilang pekerjaan.

''Kebanyakan mereka perlu diberikan kemahiran baru agar boleh mencari pekerjaan lain yang berbeza dengan bidang diceburi sebelum ini," katanya.

(Utusan Malaysia, 27 Februari 2009)

 
< Prev   Seterusnya >
Polisi Privasi | Polisi Keselamatan
Disclaimer : The Government of Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
JTKSM  Best Viewed (IE 7.0 and Mozilla Firefox : 1024 x 768)