Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU) diwujudkan bagi menyalurkan bantuan dalam bentuk geran kepada usahawan OKU. Geran ini adalah untuk mengembangkan perniagaan mereka sekaligus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi golongan OKU sendiri. Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) telah memperuntukkan sejumlah RM16 juta sebagai modal bantuan kepada OKU bagi merealisasikan hasrat ini. SBGP-OKU ini berkonsepkan “bantu usahawan OKU membantu OKU mendapatkan pekerjaan”. Hasrat ini tercapai apabila usahawan OKU berjaya mengembangkan perniagaan mereka hasil daripada bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Kebanyakan perniagaan yang terlibat dengan pemberian bantuan geran adalah di kalangan usahawan kecil.
Secara keseluruhannya usahawan OKU yang menerima bantuan Skim ini berjaya mengembangkan perniagaan mereka. Skim ini juga telah banyak memberi manfaat kepada usahawan OKU berdasarkan kepada jumlah penerima geran yang meningkat. Terdapat beberapa usahawan OKU yang benar-benar berjaya mengembangkan perniagaan mereka sekaligus dapat menggajikan lebih ramai OKU.







