Bahasa:

Warna Tema: blue green red
Saiz Teks :
A- A A+
1 soalan lazim 2 hubungi kami 5 maklumbalas 4 peta laman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam NegaraKu Malaysia.

Selamat datang ke laman web rasmi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan terima kasih kerana sudi melayari laman web ini.

Jabatan Tenaga Kerja merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertindak di barisan hadapan dalam berurusan dengan pelanggan. Sehubungan dengan itu, dalam inisiatif yang berterusan untuk mengukuhkan lagi pentadbiran perburuhan Negara, JTKSM sentiasa memberi penekanan kepada peningkatan sistem penyampaian sejajar dengan objektif untuk melindungi kepentingan dan memajukan masyarakat industri yang terdiri daripada golongan pekerja, majikan, stake holders serta masyarakat awam secara amnya.

Bagi merakyatkan perkhidmatan awam, JTKSM sentiasa memastikan perkongsian maklumat yang cepat dan tepat disampaikan kepada masyarakat. Jabatan juga memainkan peranan untuk mendidik masyarakat dengan menyalurkan maklumat melalui saluran yang betul dan menekankan aspek intergriti dalam setiap perkongsian info. JTKSM sentiasa komited dan telus untuk memastikan setiap perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan ini memberi impak yang positif dan sampai kepada semua lapisan masyarakat. Maka pelbagai medium dan kaedah penyampaian maklumat diguna pakai agar perkhidmatan ini dapat dicapai oleh semua peringkat pengguna sehingga ke akar umbi.

Seiring dengan kemajuan dan kepesatan pembangunan negara, perkembangan teknologi maklumat kini menjadi satu keutamaan kepada setiap individu dan organisasi. Ia merupakan salah satu medium utama untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat kerana istilah ‘dunia di hujung jari anda’ begitu sinonim dengan masyarakat hari ini. Justeru itu, bagi memenuhi tuntutan teknologi digital dewasa ini, laman web ini sentiasa dikemaskini sebagai saluran informasi kepada masyarakat.

Melalui laman web ini, pelbagai maklumat boleh dicapai dengan pantas dan mudah. Para majikan boleh mendapatkan panduan berkenaan penggajian pekerja, tanggungjawab mereka sebagai majikan, prosedur permohonan permit, borang-borang berkaitan dan juga maklumat berkaitan peruntukan undang-undang perburuhan negara termasuk pelbagai perkhidmatan lain yang disediakan oleh JTKSM.

Untuk warga pekerja, JTKSM menyediakan panduan mengenai hak dan faedah yang boleh mereka nikmati di bawah peruntukan pelbagai undang-undang perburuhan dan juga tanggungjawab mereka sebagai pekerja. Selain itu, dengan melayari laman web ini juga para pencari kerja boleh mengetahui tawaran untuk kekosongan jawatan termasuk panduan dan khidmat nasihat sebagai bimbingan untuk kerjaya.

Sementara fasiliti untuk memudahkan urusan dengan JTKSM seperti pendaftaran atas talian dan ruangan bagi mengemukakan pertanyaan dan pendapat, aduan serta maklum balas sudah menjadi medium untuk meningkatkan lagi interaksi antara JTKSM dan masyarakat awam. Ia juga menjadi platform perkongsian idea untuk merealisasikan agenda penambahbaikan yang berterusan dalam penyampaian perkhidmatan jabatan kepada para pelanggan.

Saya menaruh harapan agar JTKSM turut menyumbang usaha secara aktif ke arah pemantapan k-society melalui kemudahan laman web ini. Justeru segala pandangan dan cadangan daripada para pengunjung amat saya alu-alukan agar kandungan serta impak daripada maklumat-maklumat yang tersedia melalui laman ini dapat diperbaiki dari masa ke masa. SELAMAT MELAYARI LAMAN WEB JABATAN TENAGA KERJA SEMENANJUNG MALAYSIA.

Sekian, terima kasih.

YBhg. Dato' Mohd Jeffrey Bin Joakim
Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia