Bahasa:

Warna Tema: blue green red
Saiz Teks :
A- A A+

Jenis-Jenis Pemberhentian

Ketua Pengarah Tenaga Kerja melalui kuasa yang diperuntukkan kepadanya di bawah Seksyen 63, Akta Kerja 1955 dan Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja 2004, telah menetapkan tiga jenis pemberhentian yang perlu dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja seperti berikut:-

(i) Pemberhentian Tetap (Retrenchment)

Pemberhentian Tetap adalah tindakan penamatan kontrak atau perkhidmatan oleh majikan ke atas pekerja kerana syarikat mengalami masalah kewangan ataupun melakukan penstrukturan semula perniagaan mengakibatkan berlakunya lebihan tenaga kerja.

Pekerja yang diberhentikan akan dibayar faedah penamatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980 atau mengikut perjanjian bersama (collective agreement).

(ii) Pemberhentian Secara Sukarela (Voluntary Separation Scheme - VSS)

Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) bermaksud majikan berhasrat untuk mengurangkan pekerja tetapi dengan cara mempelawa pekerja memohon untuk berhenti secara sukarela. Pada kebiasanya pekerja akan ditawarkan faedah penamatan atau pampasan yang lebih baik daripada peruntukan undang-undang. Walau bagaimanapun keputusan untuk membenarkan penamatan kontrak secara sukarela adalah terletak di tangan majikan.

Manakala tindakan-tindakan seperti Mutual Separation Scheme (MSS) dan Rationalisation Scheme pula mempunyai konsep yang hampir sama namun membawa maksud yang berbeza dengan VSS. Tindakan-tindakan tersebut walau bagaimanapun, masih perlu dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

(iii) Rentikerja Sentara (Lay-Off)

Tindakan Rentikerja Sentara atau lay-off berlaku apabila:-
a) majikan tidak memberi kerja sekurang-kurangnya 12 hari kerja biasa dalam tempoh 4 minggu berturut-turut (Peraturan 5 (1)(a), Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980); atau
b) majikan tidak membayar gaji sekurang-kurangnya 12 hari kerja biasa dalam tempoh 4 minggu berturut-turut (Peraturan 5 (1)(b), Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980). Sekiranya kedua-dua situasi di atas berlaku, maka majikan hendaklah membayar faedah rentikerja sentara kepada pekerja.

Nota: Sebarang penerangan lanjut mengenai pemberhentian dan kaedah pelaksanaannya boleh diperolehi daripada Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran.

Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) merupakan badan pemantau yang memastikan majikan membuat tindakan pemberhentian pekerja berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. Pemantauan yang dibuat adalah secara berterusan dari semasa ke semasa bagi tujuan menjamin hak-hak pekerja terpelihara. Sehubungan dengan itu juga, JTK sentiasa mengambil tindakan proaktif bagi membantu pekerja diberhentikan, supaya hak dan kebajikan mereka tidak diabaikan dan dibela terutama dalam mendapatkan pekerjaan baru.

Oleh yang demikian, JTK telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja sebagai mekanisme untuk meningkatkan kefahaman majikan dalam pengurusan pemberhentian pekerja dan memberi pendedahan kepada pekerja yang diberhentikan tentang hak-hak mereka di bawah undang-undang.

Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja ini merangkumi aspek tanggungjawab majikan sebelum dan selepas pemberhentian pekerja dilaksanakan, hak-hak dan peranan pekerja yang terlibat dalam pelaksanaan pemberhentian, dan juga peranan JTK dalam membantu pekerja tersebut.

Tatacara Pemakluman Pemberhentian Pekerja

1. Majikan dikehendaki melaporkan kepada JTKSM yang berdekatan sebelum mana-mana tindakan yang dinyatakan di bawah ini dilaksanakan dengan menggunakan Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004 (Borang PK), mengikut jenis pemberhentian atau tindakan yang akan dilaksanakan oleh majikan:-

a) Pemberhentian Tetap (Rentrenchment);
b) Pengurangan Pekerja akibat berlebihan (Redundancy);
c) Pemberhentian Pekerja Secara Sukarela (Voluntary Separation-VSS);
d) Pemberhentian Kerja Sentara (Lay-Off); atau
e) Pengurangan Gaji Pekerja (Pay-Cut).

2. Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004 (Borang PK) ini hendaklah dihantar kepada Jabatan Tenaga Kerja yang berdekatan seperti berikut:-
a) Bahagian I hingga IV – dihantar sekurang-kurangnya tiga puluh (30) hari sebelum tindakan dilaksanakan.
b) Bahagian V – dihantar dalam tempoh empat belas (14) hari selepas tindakan dilaksanakan.
c) Bahagian VI dan Lampiran – dihantar dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas tindakan dilaksanakan.

Nota: Bahagian V dan VI perlu dihantar sekiranya melibatkan tindakan a) hingga d) di perenggan 1.

3. Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004 (Borang PK) ini boleh diperoleh secara percuma daripada mana-mana Pejabat Tenaga Kerja di seluruh Semenanjung Malaysia atau boleh dimuat turun di bahagian Akta & Borang > Borang > Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja (Borang PK) & Lampiran.

Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004

Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004 (Borang PK) boleh diperoleh secara percuma daripada mana-mana Pejabat Tenaga Kerja di seluruh Semenanjung Malaysia atau boleh dimuat  turun di bahagian Akta & Borang > Borang >  Pemberitahuan Pemberhentian Pekerja (Borang PK) & Lampiran.

 

Penalti Kegagalan Mengemukakan Pemberitahuan Pemberhentian

Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004 (Borang PK) telah diwartakan sebagai P.U (B) 430/2004 pada 11 November 2004 dan kepada mana-mana majikan yang gagal mematuhi perkara ini adalah melakukan satu kesalahan  mengikut seksyen 63 Akta Kerja 1955, dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan.