Bahasa:

Warna Tema: blue green red
Saiz Teks :
A- A A+

Permohonan Penggajian Pekerja Asing

Bagi memenuhi keperluan semasa industri di Malaysia, pihak kerajaan telah membenarkan majikan untuk menggajikan pekerja asing. Walau bagaimanapun hanya beberapa sektor dan sub-sektor tertentu sahaja dibenarkan yang mana telah dikenalpasti kurang diminati oleh pencari kerja tempatan.
Terdapat beberapa agensi kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penggajian pekerja asing. Agensi tersebut ialah:
i. Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pekerja asing dan menjadi urus setia kepada Pusat Proses Setempat untuk membuat pertimbangan dan kelulusan bagi permohonan majikan untuk menggajikan pekerja asing. Jabatan Imigresen Malaysia pula bertanggungjawabh dalam urusan kemasukan dan balik pekerja asing.

ii. Kementerian Sumber Manusia KSM) yang bertanggungjawab ke atas hal-hal berkaitan penggajian dan perburuhan pekerja asing serta menyediakan remedi terhadap tindakan-tindakan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh majikan atau pekerja, termasuk pekerja asing.

iii. Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab sebagai agensi kawal selia dalam sektor pembuatan.

iv. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang bertanggungjawab sebagai agensi kawal selia dalam sektor pembinaan.

v. Kememterian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) yang bertanggungjawab sebagai agensi kawal selia dalam sektor perkhidmatan, sub-sektor hotel, kedi, spa dan urut kaki.

vi. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bertanggungjawab sebagai agensi kawal selia dalam sektor perkhidmatan, sub-sektor restoran dan pembersihan dan pencucian.

vii. Kementerian Pengangkutan (MOT) yang bertanggungjawab sebagai agensi kawal selia dalam sektor perkhidmatan, sub-sektor pengendalian kargo.

viii. Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia (MOA) yang bertanggungjawab dalam sektor pertanian.

ix. Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komiditi (MPIC) yang bertanggungjawab dalam sektor perladangan.

x. Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar (Perlombongan & Pengkuarian) yang bertanggungjawab dalam sektor perlombongan dan pengkuarian.

Penggajian pekerja asing hanya dibenarkan untuk sektor dan sub sektor tertentu sahaja. Pada masa ini, sektor dan sub sektor yang dibenarkan adalah seperti Jadual 1 dan Jadual 2 di bawah.

Bil. Sektor
1 Perkhidmatan Formal
2 Perkilangan / Pembuatan
3 Pembinaan
4 Perladangan
5 Pertanian
6 Perlombongan dan pengkuarian

 Jadual 1:Sektor yang dibenarkan untuk penggajian pekerja asing

Bil. Sub Sektor Perkhidmatan
1 Restoran
2 Pembersihan dan pencucian
3 Resort di Pulau Peranginan
4 Hotel
5 Kedi (Lelaki)
6 SPA
7 Pusat Urutan Kaki
8 Pengendalian Kargo

 Jadual 2 : Sub sektor di bawah Sektor Perkhidmatan yang dibenarkan untuk penggajian pekerja asing 

Dasar Semasa Penggajian Pekerja Asing.

1. Penggajian Pekerja asing adalah langkah sementara bagi menampung keperluan industri. Keutamaan penggajian masih kepada pekerja tempatan. Oleh yang demikian majikan diwajibkan memaklumkan kekosongan jawatan dalam portal JobsMalaysia bagi memastikan pencari kerja tempatan yang berdaftar dalam portal tersebut diutamakan untuk mengisi kekosongan jawatan yang wujud.
2. Pekerja asing hanya dibenarkan bekerja sebagai pekerja asas sahaja dan sektor dalam sub-sektor yang dibenarkan.
3. Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja di barisan hadapan (front line).
4. Pekerja asing hanya dibenarkan bekerja tidak melebihi 10 tahun sahaja.
5. Pekerja asing tidak dibenarkan berkahwin di Malaysia dalam tempoh penggajian mereka. Mereka juga tidak dibenarkan membawa ahli keluarga mereka untuk tinggal di Malaysia.
6. Mulai 1 Januari 2018, levi pekerja asing ditanggung sepenuhnya oleh majikan dan majikan tidak dibenarkan untuk membuat sebarang potongan dari gaji pekerja ke atas levi tersebut.
7. Majikan bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan perumahan yang bersesuaian kepada pekerja asing mereka sepertimana yang dinyatakan di dalam Garis Panduan Penetapan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing.

Tatacara Permohonan Penggajian Pekerja Asing

Pengambilan Pekerja Asing

Dibuat secara online menggunakan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) melalui laman sesawang https://www.eppax.gov.my/

Walau bagaimanapun, majikan terlebih perlu mengiklankan kekosongan jawatan dalam Portal JobsMalaysia melalui laman sesawang www.jobsmalaysia.gov.my. Ini bertujuan untuk memastikan peluang pekerjaan ini diketahui oleh pencari kerja tempatan terlebih dahulu. Setiap permohonan yang dibuat melalui sistem ePPAx dan akan disiasat oleh JTK bagi memastikan perkara-perkara berikut:-

i. kesahihah kewujudan majikan; 
ii. pengesahan maklumat permohonan;
iii. usaha mendapatkan pekerja tempatan;
iv. pematuhan undang-undang perburuhan; 
v. pematuhan dalam menyediakan kemudahan perumahan pekerja; dan
vi. kelayakan untuk menggajikan pekerja asing

JTKSM akan mengeluarkan Perakuan JTKSM selepas berpuas hati majikan layak menggajikan pekerja asing. Selepas perakuan ini dikeluarkan, majikan hendaklah menandatangani Aku Janji Majikan untuk mematuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan.

Seterusnya majikan akan menghadiri temuduga bersama Agensi Kawal Selia (AKS) di Pusat Kelulusan Setempat (OSC), KDN. Keputusan permohonan akan dikeluarkan oleh panel di OSC, KDN.

 


 Rajah 1: Carta Alir Permohonan Perakuan JTKSM Bagi Penggajian Pekerja Asing (ePPAx) 

Pengambilan Pekerja Asing Bangladesh

Dibuat secara online menggunakan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA). Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang sppa.com.my. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Sistem Permohonan Pekerja Asing boleh di rujuk ke pusat khidmat pelanggan di talian 03 – 86892858 atau melalui email enquiry[at]sppa[dot]com[dot]my

Lain-lain pertanyaan mengenai SPPA boleh juga dirujuk kepada Bahagian Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri di talian 03-8885 2888.

Pembantu Rumah Indonesia

Permohonan Perakuan Penggajian Pembantu Rumah Indonesia

Perakuan Penggajian Pembantu Rumah Indonesia dikeluarkan oleh JTKSM bagi penggajian Pembantu Rumah Indonesia (PRI) untuk mengawal pengambilan dan penempatan PRI di negara ini.

Senarai Terkini Agensi Pekerjaan Swasta Yang Bedaftar

Senarai terkini Agensi Pekerjaan Swasta yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 30 September 2017 boleh didapati disini. 
Permohonan untuk menggajikan pembantu rumah indonesia hendaklah dibuat secara on-line melalui sistem APS Link Up di laman sesawang aps.jobsmalaysia.gov.my.

Panduan Untuk Agensi Pekerjaan Swasta

 Carta Aliran Permohonan Surat Akuan APS Melalui sistem APS Link-Up 
• Carta Aliran Pengurusan Demand Letter Pekerja
• Senarai Semak Syarat-Syarat Pengurusan Demand Letter Bagi Pembantu Rumah Indonesia
• Kontrak Perkhidmatan Pembantu Rumah Asing 


Panduan Untuk Majikan

• Carta Aliran Permohonan Surat Akuan APS Melalui sistem APS Link-Up 
• Carta Aliran Pengurusan Demand Letter Pekerja Domestik Oleh MRA & IRA
• Senarai Semak Syarat-Syarat Pengurusan Demand Letter Bagi Pembantu Rumah Indonesia
• Kontrak Perkhidmatan Pembantu Rumah Asing

 

Pertukaran Majikan

Dasar kerajaan membenarkan pekerja asing ditukarkan kepada majikan lain sekiranya majikan asal menghadapi masalah untuk terus menggajikan mereka dengan syarat majikan yang baru hendaklah majikan dalam sektor yang sama. Antara sebab permohonan pertukaran majikan di buat adalah :

• Penggabungan syarikat
• Penutupan operasi
• Pertukaran struktur/pemilik syarikat
• Pertukaran nama/status syarikat

 

Rajah 1 : Carta Alir Pertukaran Majikan

Keperluan Mengemukakan Maklumat Pekerja Asing

Bil. Jenis Laporan
1 Laporan Penggajian Pekerja Asing (Seksyen 60K(1) Akta Kerja 1955)
  Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PA 1/13 ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh penggajian pekerja asing tersebut.
Kegagalan mematuhi Seksyen 60K(1) Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 60K(5) Akta dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000
2 Laporan Penamatan Pekerja Asing (Seksyen 60K(3) Akta Kerja 1955)
  Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PA2/13 bersama Lampiran A (maklumat pekerja asing yang ditamatkan perkhidmatan) ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penamatan kerja pekerja asing tersebut disebabkan oleh alasan-alasan berikut :
a. pemberhentian kerja oleh majikan; 
b. pekerja berhenti sendiri;
c. pas pekerjaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen telah tamat tempoh kecuali yang diperbaharui;
d. pekerja asing dihantar pulang ke negara asal atas apa-apa alasan lain;
e. pekerja asing dihantar pekerja melarikan diri
Kegagalan mematuhi Seksyen 60K(3) Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 99A Akta dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000.
3 Laporan Tentang Pekhidmat Domestik Asing Yang Digajikan (Seksyen 57a(1) Akta Kerja 1955)
  Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PDA 2/13 ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh tiga puluh hari (30) hari dari tarikh penamatan perkhidmatan pekhidmat domestik asing tersebut.
Kegagalan mematuhi peruntukan Seksyen 57B Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 57B(3) Akta dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000.
4 Laporan Tentang Pekhidmat Domestik Asing Yang Tamat Perkhidmatan (Seksyen 57b Akta Kerja 1955)
 

Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PDA 2/13 ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh tiga puluh hari (30) hari dari tarikh penamatan perkhidmatan pekhidmat domestik asing tersebut.
Kegagalan mematuhi peruntukan Seksyen 57B Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 57B(3) Akta dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000.