Bahasa:

Warna Tema: blue green red
Saiz Teks :
A- A A+

1. Apakah inisiatif yang diambil oleh Jabatan memastikan pematuhan undang-undang perburuhan oleh pihak majikan?

Jabatan mengambil langkah proaktif dengan menjalankan aktiviti Pemeriksaan Perburuhan ke atas tempat pekerjaan bagi mengesan dan membuat pencegahan awal bagi sebarang ketidakpatuhan undang-undang perburuhan.

2. Sekiranya terdapat pertikaian berhubung pembayaran gaji dan lain-lain faedah yang sepatutnya diterima oleh pekerja, apakah tindakan yang boleh dilakukan?

Pekerja atau pengadu (bagi pihak pekerja) boleh memfailkan aduan berkaitan melalui:-
• Surat ke alamat Jabatan Tenaga Kerja berdekatan
• Email rasmi Jabatan iaitu jtksm[at]mohr[dot]gov[dot]my
• Hadir ke Pejabat Tenaga Kerja yang berdekatan dengan tempat kerja
• Telefon di talian 03-8000 8000

3. Apakah tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pihak Jabatan?

Jabatan akan menjalankan siasatan setelah maklumat mengenai aduan diterima. Sekiranya aduan berasas, tindakan akan diambil ke atas majikan samada melalui notis pembetulan, pendakwaan atau kompaun. 

4. Berapa lama tempoh aduan ini akan diselesaikan?

Berdasarkan piagam pelanggan Jabatan, aduan perlu disiadat dan dimaklumkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengaduan. Walau bagaimanapun, terdapat kes yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut atas beberapa faktor seperti kompleksiti kes yang meliputi isu perundangan dan teknikal.

5. Apakah tindakan Jabatan bagi kes-kes berkaitan aduan gangguan seksual di tempat kerja?

Jabatan hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat kes gangguan seksual di tempat kerja bagi kes yang melibatkan majikan pemilikan tunggal.

Bagi kes melibatkan majikan selain majikan pemilikan tunggal, mangsa perlu memaklumkan pihak majikan dan majikan adalah bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan terhadap aduan gangguan seksual yang diadukan oleh mangsa. Sekiranya majikan enggan berbuat demikian, mangsa yang tidak berpuas hati boleh merujuk perkara itu kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja. Ketua Pengarah Tenaga Kerja akan mengarahkan majikan untuk membuat siasatan dan melaporkan hasil siasatan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

6. Apakah tanggungjawab majikan yang ingin mengambil wanita bekerja pada waktu malam?

Wanita tidak dibenarkan bekerja dalam bidang pertanian dan perindustrian antara jam 10.00 malam hingga 5.00 pagi.

Walau bagaimanapun, pengecualian boleh diberi melalui permohonan bertulis oleh majikan dengan syarat-syarat berikut:-

(i) Rehat 11 jam terus – menerus sebelum bekerja semula;
(ii) Cuti rehat mingguan tidak kurang 30 jam;
(iii) Kerja syif tidak secara tetap;
(iv) Membayar elaun syif kedua dan ketiga; dan
(v) Pengangkutan percuma.

7. Adakah wanita dibenarkan untuk bekerja di bawah tanah?

Tidak ada seorang pun wanita dibenarkan bekerja bawah tanah.

8. Adakah semua pekerja wanita layak menikmati cuti bersalin bergaji?

Semua pekerja wanita layak tanpa mengira had gaji layak untuk menikmati cuti bersalin bergaji dengan sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:-
(i) Kehamilan sekurang-kurangnya 22 minggu;
(ii) Terhad kepada 5 orang anak yang masih hidup;
(iii) Memberitahu majikan tentang kehamilannya; dan
(iv) 90 hari bekerja dalam 9 bulan sebelum bersalin dan telah diambil bekerja pada bila-bila masa dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin.

9. Adakah pekerja wanita yang sedang cuti bersalin boleh diberhentikan kerja?

Majikan dilarang memberhentikan pekerja wanita dalam tempoh cuti bersalin dan dalam tempoh 90 hari selepas itu.