Bahasa:

Warna Tema: blue green red
Saiz Teks :
A- A A+

1. Adakah saya perlu melaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja sekiranya mahu memberhentikan pekerja?

Ya. Pemberhentian yang perlu dilaporkan hanyalah pemberhentian yang disebabkan oleh penamatan kontrak perkhidmatan akibat penutupan syarikat dan berlebihan pekerja. Keadaan berlebihan pekerja yang boleh timbul adalah berikutan daripada beberapa sebab seperti penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi, pengambilalihan syarikat dan lain-lain. Ini tidak termasuk penamatan kontrak perkhidmatan akibat tindakan disiplin dan pemecatan terhadap pekerja. 

2. Bagaimana caranya untuk saya sebagai majikan laporkan mengenai pemberhentian pekerja yang akan dilaksanakan?

Laporan boleh dibuat melalui Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004 (Borang PK beserta Lampiran) yang boleh diperolehi secara percuma daripada mana-mana cawangan Jabatan Tenaga Kerja di seluruh Semenanjung Malaysia atau boleh dimuat  turun daripada laman sesawang Jabatan. 

 

3. Adakah menjadi satu kesalahan sekiranya saya tidak melaporkan tindakan pemberhentian pekerja?

Ya. Pemberitahuan Pemberhentian Kerja 2004 (Borang PK) telah diwartakan sebagai P.U (B) 430/2004 pada 11 November 2004 dan kepada mana-mana majikan yang gagal mematuhi perkara ini adalah melakukan satu kesalahan  mengikut seksyen 63 Akta Kerja 1955, dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 untuk setiap kesalahan.

4. Bagaimana saya boleh mengelak daripada memberhentikan pekerja, dan apakah prosedur sekiranya pemberhentian terpaksa dilakukan?

Tatacara untuk Keharmonian Perusahaan telah mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan pemberhentian pekerja. Langkah-langkah tersebut boleh didapati dalam Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja. Garis panduan tersebut juga telah menggariskan prosedur bagi pelaksanaan tindakan pemberhentian pekerja.

5. Saya telah diberikan surat penamatan perkhidmatan kerana majikan terpaksa menutup perniagaan, adakah saya boleh menuntut sebarang pampasan pemberhentian?

Pampasan atau faedah penamatan boleh dituntut sekiranya pekerja yang diberhentikan dilindungi dibawah Akta Kerja 1955 atau Perjanjian Bersama (Collective Agreement). Secara amnya, pekerja tersebut layak menuntut faedah-faedah statutori seperti gaji ganti notis, faedah penamatan kerja, bayaran baki cuti tahunan dan baki gaji (sekiranya ada). Pekerja yang terlibat dengan pemberhentian boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran bagi mendapatkan penerangan terperinci. Maklumat lanjut juga boleh didapati dalam Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja.

6. Bagaimanakah cara untuk mengira bayaran faedah penamatan dan bilakah faedah tersebut perlu dibayar kepada pekerja?

Pembayaran faedah pemberhentian kerja hendaklah mengikut kontrak perkhidmatan, tetapi tidak boleh kurang daripada kadar yang ditetapkan di bawah Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980, Akta Kerja 1955 iaitu:- a) 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat kurang daripada 2 tahun;
b) 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat selama 2 tahun tetapi kurang daripada 5 tahun; atau
c) 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat 5 tahun atau lebih.
dan dikira pro-rata mengenai tempoh yang tidak genap setahun, mengikut genap bulan yang hampir sekali. Formula yang ditetapkan di bawah Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980, ialah seperti berikut : 

Gaji 12 Bulan
365 Hari
X Tempoh Perkhidmatan
(Bilangan Tempoh Berkhidmat)
X Kelayakan
(10/15/20 Hari Setahun)

Pekerja berhak mendapat butir-butir bertulis tentang amaun jumlah faedah penamatan dan cara kiraan dibuat. Faedah penamatan kerja hendaklah dibayar selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh pekerja ditamatkan perkhidmatan. Kalkulator pengiraan faedah penamatan juga boleh didapati di bahagian Aplikasi Umum> Kalkulator.

 

7. Saya telah ditawarkan Voluntary Separation Scheme ( VSS) oleh majikan, apakah yang dimaksudkan dengan VSS dan berapakah jumlah pampasan yang patut saya terima?

Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) bermaksud majikan berhasrat untuk mengurangkan pekerja tetapi dengan cara mempelawa pekerja memohon untuk berhenti secara sukarela. Pada kebiasanya pekerja akan ditawarkan faedah penamatan atau pampasan yang lebih baik daripada peruntukan undang-undang. Walau bagaimanapun keputusan untuk membenarkan penamatan kontrak secara sukarela adalah terletak di tangan majikan. 

8. Majikan saya memaklumkan akan menutup operasi perniagaan (shut down) buat sementara waktu dan pekerja tidak akan dibayar gaji dalam tempoh tersebut. Adakah majikan saya boleh berbuat demikian?

Majikan boleh berbuat demikian dan tindakan ini dianggap sebagai rentikerja sentara atau lay-off. Walaupun demikian, beberapa syarat perlu dipatuhi oleh majikan. Menurut Peraturan 5 (1), Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980, tindakan rentikerja sentara atau lay-off berlaku apabila majikan tidak memberi/ menyediakan kerja atau membayar gaji sekurang-kurangnya 12 hari kerja biasa dalam tempoh 4 minggu berturut-turut. Sekiranya kedua-dua situasi tersebut berlaku, majikan hendaklah membayar faedah rentikerja sentara kepada pekerja. Namun, jika majikan tidak kembali beroperasi dan kontrak perkhidmatan ditamatkan atau tidak diperbaharui, maka majikan hendaklah membayar faedah penamatan. Rentikerja sentara atau lay-off tidak berlaku sekiranya majikan tidak memenuhi syarat di bawah Peraturan 5 (1) tersebut. 

9. Adakah tindakan rentikerja sentara atau lay-off boleh dilakukan ke atas pekerja bergaji bulanan?

Menurut keputusan kes M/s. Viking Askim melawan National Union of Employees in Companies Manufacturing Rubber Products & Anor. [1991] 3 CLJ (Rep) 195, Peraturan 5 (1), Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980, tidak terpakai kepada pekerja bergaji bulanan kerana saraan mereka di bawah kontrak perkhidmatan bukan berdasarkan jenis pekerjaan yang disediakan.

10. Adakah dalam tempoh shut down pakerja yang bergaji bulanan layak mendapat upah?

Ya. Mahkamah telah memutuskan pekerja bergaji bulanan yang tidak disediakan kerja di dalam tempoh shut down, berkelayakan mendapat upah penuh. Majikan perlu membayar gaji berdasarkan kontrak perkhidmatan bagi pekerja yang dibayar gaji secara bulanan.

11. Apakah kategori pekerja yang boleh direntikerja sentara atau lay-off?

Pekerja yang boleh direntikerja sentara atau lay-off adalah pekerja yang dibayar gaji mengikut jam, harian, task-work atau piece rate.

12. Majikan telah membuat keputusan untuk menutup operasi perniagaan selama satu minggu kerana cuti perayaan dan meminta pekerja memohon cuti tahunan dalam termpoh tersebut. Adakah ia boleh dianggap sebagai rentikerja sentara atau lay-off?

Menurut Peraturan 5 (1) Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980, hari rehat, cuti am, cuti sakit, cuti bersalin, cuti tahunan, cuti yang dibenarkan dibawah undang-undang bertulis dan apa-apa cuti yang dipohon dan diluluskan oleh majikan, tidak boleh dianggap  sebagai rentikerja sentara atau lay-off.