Language:

Color Option: blue green red
Text Size:
A- A A+
1 soalan lazim 2 hubungi kami 5 maklumbalas 4 peta laman

Pengenalan

  • Penggajian pekerja asing merupakan salah satu aktiviti di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2006 apabila Mesyuarat JKK-PA Kali Ke-34 pada 16 Mac 2006 memutuskan pra syarat kepada majikan untuk mendapatkan dokumen sokongan JTKSM yang dahulunya dikenali sebagai dokumen Job Clearing System (JCS) bagi tujuan penggajian pekerja asing.
  • Manakala, pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 telah memperkemaskan lagi pengurusan penggajian pekerja asing yang mana telah memperuntukkan kuasa Ketua Pengarah dalam memberikan kelulusan awal terhadap majikan yang ingin menggajikan pekerja asing sepertimana kehendak Seksyen 60K Akta Kerja 1955.
  • Definisi ‘pekerja asing’ yang tertakluk kepada peruntukan Seksyen 60K adalah sepertimana yang diertikan di bawah Seksyen 2 iaitu ‘pekerja asing’ ertinya ‘pekerja bukan warganegara’.
  • Antara tanggungjawab Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di dalam penggajian pekerja asing adalah membuat semakan terhadap permohonan yang diterima bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang perburuhan majikan sebelum kelulusan diberikan. Selain itu, semakan yang dibuat oleh JTKSM juga turut memastikan kebajikan pekerja terpelihara dan pihak majikan yang mengambil pekerja bekerja mempunyai kemampuan untuk membayar gaji pekerja mengikut kehendak Perintah Gaji Minimum. Permohonan yang disokong, akan diberi Surat Kelulusan bagi Penggajian Pekerja di bawah Seksyen 60K oleh JTKSM sebelum melalui proses seterusnya iaitu kelulusan kuota/pas mengikut agensi pelulus berkaitan. Manakala, permohonan majikan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang atau syarat ditetapkan akan ditolak.
  • Kegagalan mendapatkan kelulusan JTKSM di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 60K(5) Akta Kerja 1955 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

Permohonan Pekerja Asing dan Siasatan Perburuhan

Selaras dengan penguatkuasaan Seksyen 60K Akta Kerja 1955 bermula 1 Januari 2023, mana-mana majikan yang ingin menggajikan pekerja asing hendaklah mendapatkan kelulusan awal daripada JTKSM terlebih dahulu sebelum meneruskan proses seterusnya di agensi yang berkaitan. Kelulusan awal penggajian pekerja asing yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60K meliputi semua pekerja bukan warganegara sepertimana kategori berikut:

  1. Pekerja asing – pemegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) di bawah sektor yang dibenarkan iaitu sektor perkilangan, sektor perkhidmatan, sektor perladangan, sektor pertanian, sektor pembinaan dan sektor perlombongan & pengkuarian;
  2. Pegawai dagang – pemegang pas penggajian yang terdiri dari pekerja mahir;
  3. Pengawal Keselamatan Asing – pekerja pengawal keselamatan asing;
  4. Pas dengan kebenaran bekerja – Pas Pelajar, Pemegang Pas Residen, Program Malaysia My Second Home (MM2H) & Program Visa Premium (PVIP) Malaysia;
  5. Lain-lain kategori pas - Nelayan Asing, Kru Kapal, Tukang masak tomyam, Pas Tradisi (wargenagera Thailand di negeri-negeri bersempadan), Pas Ikhtisas (guru agama/pengiat seni/mubaligh lain-lain agama); dan
  6. Pekerja asing yang diambil bekerja dari rumah perlindungan

Permohonan Pertukaran Majikan

Permohonan pertukaran majikan (PTM) merupakan proses pertukaran pekerja asing dari majikan asal kepada majikan baharu tertakluk kepada sebab dan alasan yang ditetapkan. Ini bagi memastikan pekerja asing sedia ada dalam negara kekal dalam perkhidmatan bersama majikan dan dilindungi mengikut undang-undang perburuhan.

 

JTKSM berperanan membuat siasatan terhadap majikan asal dan baharu bagi memastikan pematuhan undang-undang perburuhan serta syarat-syarat yang ditetapkan. JTKSM akan mengeluarkan Surat Kelulusan Penggajian Pekerja Asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 bagi permohonan yang disokong. Kelulusan JTKSM merupakan salah satu kriteria yang akan diambilkira bagi menentukan kelulusan permohonan di One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri.

 

Permohonan PTM hanya dibenarkan kepada majikan asal yang tidak dapat meneruskan penggajian pekerja asing disebabkan alasan seperti berikut:

  • Majikan diisytihar muflis / tutup operasi;
  • Majikan ditimpa musibah (contoh: kebakaran, bencana alam);
  • Majikan tidak mampu menggajikan pekerja asing (contoh: kegawatan ekonomi);
  • Penstrukturan semula syarikat / pertukaran status perniagaan;
  • Perubahan nama syarikat / pengarah syarikat; dan
  • Majikan asal telah meninggal dunia.

Penggajian Pekerja Domestik Asing

Pekerja Domestik Asing merujuk kepada pekerja asing yang diambil bekerja dalam kediaman seseorang majikan. Pekerja domestik asing juga mempunyai hak-hak yang perlu dilindungi tertakluk kepada terma dan syarat penggajian serta penetapan perundangan yang dipersetujui secara bersama dengan pihak majikan. Negara-negara sumber pekerja domestik asing adalah seperti senarai dibawah:

  1. Nepal
  2. India
  3. Sri Lanka
  4. Laos
  5. Thailand
  6. Kemboja
  7. Indonesia
  8. Vietnam
  9. Filipina

JTKSM berperanan membuat siasatan ke atas pematuhan undang-undang perburuhan dan syarat-syarat bagi majikan yang ingin menggajikan pekerja domestik asing. JTKSM akan mengeluarkan Surat Kelulusan Penggajian Pekerja Asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 bagi permohonan yang diluluskan.

Pelaporan Berkaitan Penggajian Pekerja Asing

Akta Kerja 1955 telah menggariskan beberapa kewajipan majikan dalam melaporkan penggajian pekerja asing. Ini bagi memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya ke

atas pekerja asing yang digajikan mengikut undang-undang dan peruntukan yang berkuatkuasa. Antara laporan penggajian yang wajib dipatuhi oleh majikan adalah seperti berikut:

Bil. Jenis Laporan
1 Laporan Penggajian Pekerja Asing (Seksyen 60K(3) Akta Kerja 1955)
 

Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PA 1/13 ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh penggajian pekerja asing tersebut.

Kegagalan mematuhi Seksyen 60K(3) Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 99A Akta Kerja 1955 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

2 Laporan Penamatan Pekerja Asing (Seksyen 60KA Akta Kerja 1955) Seksyen 60KA(1)
 

Seksyen 60KA(1)

Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PA2/13 bersama Lampiran A (maklumat pekerja asing yang ditamatkan perkhidmatan) ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penamatan kerja pekerja asing tersebut disebabkan oleh alasan-alasan berikut:

a. pemberhentian kerja oleh majikan; 
b. pas pekerjaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen telah tamat tempoh kecuali yang diperbaharui; atau
c. pekerja asing dihantar pulang ke negara asal atas apa-apa alasan lain;

Seksyen 60KA(2)

Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PA2/13 bersama Lampiran A (maklumat pekerja asing yang ditamatkan perkhidmatan) ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh empat belas hari (14) hari dari tarikh penamatan kerja pekerja asing tersebut disebabkan oleh alasan-alasan berikut:

a. pekerja menamatkan perkhidmatan;
b. pekerja melarikan diri dari tempat kerjanya; atau
c. pekerja gagal hadir bekerja (sepertimana Seksyen 15(2) Akta Kerja 1955)

Kegagalan mematuhi Seksyen 60KA(1) dan 60KA(2) Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 99A Akta Kerja 1955 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.

 3 Laporan Tentang Pekerja Domestik Asing Yang Digajikan (Seksyen 57A(1) Akta Kerja 1955)
 

Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PDA 1/13 ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh tiga puluh hari (30) hari dari tarikh penggajian pekerja domestik asing tersebut.

Kegagalan mematuhi peruntukan Seksyen 57A(1) Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 57A(2) Akta dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.

4 Laporan Tentang Pekerja Domestik Asing Yang Tamat Perkhidmatan (Seksyen 57B(1) Akta Kerja 1955)
 

Setiap majikan dikehendaki melengkapkan dan menghantar borang PDA 2/13 ke Pejabat Tenaga Kerja terdekat dalam tempoh tiga puluh hari (30) hari dari tarikh penamatan perkhidmatan pekerja domestik asing tersebut.

Kegagalan mematuhi peruntukan Seksyen 57B(1) Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 57B(3) Akta dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.

Permohonan

Mana-mana majikan yang ingin menggajikan pekerja asing boleh membuat permohonan di pautan yang diberikan di bawah mengikut kategori permohonan pekerja asing seperti senarai berikut:

1. Permohonan penggajian pekerja asing di bawah sektor yang dibenarkan iaitu sektor perkilangan, sektor perkhidmatan, sektor perladangan, sektor pertanian, sektor pembinaan dan sektor perlombongan & pengkuarian hendaklah dibuat melalui fwcms.com.my

2. Permohonan Pertukaran Majikan hendaklah dibuat melalui emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. Senarai semak permohonan dan borang permohonan adalah seperti di Senarai Semak / Borang 

3. Permohonan penggajian Pegawai dagang, Pengawal Keselamatan Asing, Nelayan Asing, Kru Kapal, Pas Ikhtisas, Pas Pelajar, Pemegang Pas Residen dan Peserta Program Malaysia My Second Home (MM2H) dan Peserta Program Visa Premium (PVIP) Malaysia hendaklah dibuat melalui BORANG PERMOHONAN KELULUSAN PENGGAJIAN PEKERJA ASING (SEKSYEN 60K) DAN PENDAFTARAN TEMPAT PEKERJAAN (SEKSYEN 63A) AKTA KERJA 1955 BAGI LAIN-LAIN KATEGORI PEKERJA ASING/PAS 

4. Permohonan penggajian Pekerja Domestik Asing warganegara hendaklah dibuat di BORANG PERMOHONAN KELULUSAN PENGGAJIAN PEKERJA ASING (SEKSYEN 60K) DAN PENDAFTARAN TEMPAT PEKERJAAN (SEKSYEN 63A) AKTA KERJA 1955 BAGI PEKERJA DOMESTIK ASING (PEMBANTU RUMAH ASING) Senarai semak dan panduan permohonan bagi Pekerja Domestik Asing Indonesia adalah seperti di Senarai Semak / Borang 

5. Permohonan penggajian tukang masak tomyam boleh dibuat melalui BORANG PERMOHONAN KELULUSAN PENGGAJIAN PEKERJA ASING (SEKSYEN 60K) DAN PENDAFTARAN TEMPAT PEKERJAAN (SEKSYEN 63A) AKTA KERJA 1955 BAGI TUKANG MASAK TOMYAM 

6. Pas Tradisi (pekerja wargenegara Thailand di negeri-negeri bersempadan) hendaklah dibuat melalui BORANG PERMOHONAN KELULUSAN PENGGAJIAN PEKERJA ASING (SEKSYEN 60K) DAN PENDAFTARAN TEMPAT PEKERJAAN (SEKSYEN 63A) AKTA KERJA 1955 BAGI PLKS WARGANEGARA THAILAND DI NEGERI BERSEMPADAN

7. Permohonan penggajian pekerja asing dari rumah perlindungan hendaklah dibuat melalui Pejabat Strategik Nasional [NSO], Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran [MAPO]

8. Rujuk Proses Kerja untuk maklumat lanjut.

Senarai Semak / Borang

Permohonan Pertukaran Majikan
1 Senarai semak Permohonan Pertukaran Majikan Muat Turun
2 Borang Permohonan Pertukaran Majikan Muat Turun

 

Permohonan Penggajian Pekerja Domestik Asing Indonesia (PDI)
1 Panduan Permohonan Surat Penggajian PDI Muat Turun
2 Lampiran 1B (Senarai Semak) Muat Turun
3 Borang Permohonan PDI Muat Turun

 

Borang pelaporan penggajian/penamatan
Bil Jenis Borang Keterangan Borang Muat Turun
1 Borang PA1/13 Laporan Penggajian Pekerja Asing Digajikan Muat Turun
2 Borang PA 2/13 Laporan Penggajian Pekerja Asing Ditamatkan Muat Turun
3 LAMPIRAN A Maklumat Pekerja Asing Yang Ditamatkan Perkhidmatan Muat Turun
4 Borang PDA1/13 Laporan Tentang Perkhidmat Domestik Asing Yang Digajikan Muat Turun
5 Borang PDA2/13 Laporan Tentang Perkhidmat Domestik Asing Yang Ditamatkan Muat Turun