Jabatan Tenaga Kerja telah ditubuhkan pada tahun 1912 dan merupakan salah sebuah daripada 12 buah Jabatan dan agensi yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia.
Sebelum tahun 1960an, objektif Jabatan ialah ’menjaga kepentingan pekerja di sektor perladangan dan lombong’. Pada tahun 1970, Jabatan Buruh digabungkan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan. Gabungan ini memfokuskan kepada penyelesaian pertikaian yang melibatkan pekerja dan kesatuan.
Penstrukturan institusi perburuhan terus dibuat bagi merealisasikan fungsi dan tanggungjawab dengan lebih efektif.
Antara perubahan yang dibuat ialah dengan memisahkan Jabatan Buruh dari Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan seterusnya menggariskan semula tanggungjawab serta fungsi. Jabatan Buruh dipertanggungjawabkan memelihara kebajikan, kepentingan para pekerja dalam mewujudkan keharmonian antara majikan dan pekerja.
Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan di bawah Jabatan Tenaga Rakyat telah digabungkan dengan Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia (JBSM) berkuatkuasa pada Februari 2003.
Aktiviti penggabungan ini telah membawa perubahan besar kepada JBSM melibatkan pertambahan fungsi seperti pengumpulan maklumat perburuhan dan penempatan pencari-pencari pekerjaan di sektor swasta.
Penggabungan yang dijalankan membawa pertukaran nama Jabatan Buruh kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).