Penggajian Pekerja Asing

Penggajian Pekerja Asing

1. Apakah definisi pekerja asing dibawah Akta Kerja 1955?

Pekerja asing ertinya pekerja yang bukan warganegara

2. Adakah majikan wajib menyediakan Kontrak Perkhidmatan kepada pekerja asing?

Ya. Majikan wajib menyediakan dan menandatangani kontrak perkhidmatan yang mengandungi terma-terma yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

3. Adakah pekerja asing layak dibayar gaji minimum?

Ya, semua pekerja termasuk pekerja asing layak kepada gaji minimum sepenuhnya.

4. Adakah majikan dibenarkan memotong gaji pekerja untuk tujuan penginapan?

Ya. Majikan dibenarkan membuat pemotongan kadar sewa atau caj penginapan bagi setiap pekerja termasuklah pekerja asing seperti diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Kadar Maksimum Sewa Atau Caj Penginapan) 2020. Kadar potongan hendaklah tidak melebihi RM100.00 sebulan setelah mendapat Perakuan Penginapan oleh Ketua Pengarah JTKSM.

Walau bagaimanapun, jika kontrak perkhidmatan kedua-dua pihak menyatakan bahawa penginapan disediakan secara percuma, maka tiada potongan penginapan boleh dibuat ke atas gaji pekerja asing tersebut.

5. Adakah pasport pekerja asing boleh disimpan oleh majikan?

Tidak. Majikan tidak boleh menyimpan pasport pekerja asing dan ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12 (f) Akta Pasport 1966.

6. Adakah pemastautin tetap merupakan pekerja asing?

Pemastautin tetap ertinya seseorang yang bukan warganegara, yang dibenarkan bermastautin di Malaysia tanpa apa-apa had masa yang dikenakan di bawah mana-mana undang-undang berhubungan dengan imigresen, atau yang diperakui oleh Kerajaan Persekutuan sebagai hendaklah dikira sedemikian di Malaysia. Oleh itu, pemastautin tetap bukanlah seorang pekerja asing.

7. Adakah semua majikan yang ingin menggajikan pekerja asing perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955?

Ya semua majikan yang ingin menggajikan pekerja asing perlu mendapatkan kelulusan awal JTKSM di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955. Kategori permohonan penggajian pekerja asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 adalah seperti berikut: 


PERMOHONAN PENGGAJIAN PEKERJA ASING BAGI SEKTOR-SEKTOR YANG DIBENARKAN

  1. Adakah majikan boleh membuat permohonan bagi penggajian pekerja asing?
    Ya, Permohonan pekerja asing di bawah sektor yang dibenarkan iaitu sektor perkilangan, sektor perkhidmatan, sektor perladangan, sektor pertanian, sektor pembinaan dan sektor perlombongan & pengkuarian telah mula dibuka kepada pihak majikan yang memerlukan khidmat pekerja asing. Permohonan penggajian pekerja asing boleh diakses secara dalam talian, menggunakan modul eQuota Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) / Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPax) di www.fwcms.com.my / www.eppax.gov.my (tertakluk kepada keputusan cabinet)
  2. Nyatakan pra syarat permohonan pekerja asing yang perlu dipatuhi oleh majikan?

    Kerajaan telah menetapkan pra syarat kepada majikan yang berhasrat untuk memohon atau sedang menggajikan pekerja asing seperti berikut:

    • Mengiklankan kekosongan jawatan di www.myfuturejobs.gov.my
    • Membuat pembayaran gaji pekerja asing yang sedang digajikan melalui bank mengikuat kadar gaji yang ditetapkan di bawah Perintah Gaji Minimum
    • Menyediakan penginapan kepada semua pekerja asing yang sedang digajikan
    • Mematuhi semua undang-undang perburuhan bagi pekerja tempatan dan pekerja asing sedia ada
    • Memastikan semua pekerja asing yang sedang digajikan bercarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
    • Memastikan majikan tidak disabitkan kesalahan di bawah aktiviti buruh paksa 
    • Mematuhi kelayakan syarat minimum seperti ditetapkan oleh agensi kawal selia di bawah sektor masing-masing/ Bahagian Pengurusan Pekerja Asing Migran, Kementeria Sumber Manusia.
       
  3. Nyatakan penglibatan JTKSM dalam proses penggajian pekerja asing?
    JTKSM bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan berkaitan kewujudan premis, pematuhan undang-undang perburuhan, penyediaan penginapan pekerja asing, syarat dan kriteria minimum permohonan. Kelulusan JTKSM di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 merupakan salah satu kriteria yang akan diambilkira bagi menentukan kelulusan permohonan di One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri.
     
  4. Nyatakan proses selanjutnya bagi permohonan yang telah disokong di peringkat JTKSM?
    Sistem FWCMS/ ePPAx(tertakluk kepada keputusan cabinet) akan mengeluarkan surat kelulusan penggajian pekerja asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 mengikut tempoh sah laku yang dinyatakan dan majikan perlu hadir ke One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri mengikut jadual berdasarkan sektor masing-masing untuk proses temuduga oleh pihak Agensi Kawal Selia.


PERMOHONAN PENGGAJIAN PEKERJA ASING BAGI SEKTOR-SEKTOR YANG DIBENARKAN

  1. Adakah majikan boleh membuat permohonan pertukaran pekerja asing dari majikan asal kepada majikan baharu?
    Ya. Pada masa kini, dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan membenarkan pekerja asing majikan asal ditukarkan kepada majikan baharu berdasarkan sebab dan alasan yang dibenarkan.

  2. Apakah sebab dan alasan yang membolehkan majikan asal membuat permohonan pertukaran majikan?
    Permohonan pertukaran majikan hanya dibenarkan kepada majikan asal yang tidak dapat meneruskan penggajian pekerja asing disebabkan alasan seperti berikut:
    • Majikan diisytihar muflis / tutup operasi;
    • Majikan ditimpa musibah (contoh: kebakaran, bencana alam);
    • Majikan tidak mampu menggajikan pekerja asing (contoh: kegawatan ekonomi);
    • Penstrukturan semula syarikat / pertukaran status perniagaan;
    • Perubahan nama syarikat / pengarah syarikat; dan
    • Majikan asal telah meninggal dunia.
       
  3. Nyatakan penglibatan JTKSM dalam proses permohonan pertukaran majikan?
    JTKSM bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan terhadap majikan asal dan majikan baharu berkaitan kewujudan premis, pematuhan undang-undang perburuhan dan penyediaan penginapan pekerja asing.
     
  4. Adakah permohonan pertukaran majikan perlu mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada JTKSM sepertimana kehendak seksyen 60K Akta Kerja 1955?
    Ya, permohonan pertukaran majikan juga perlu mendapatkan kelulusan awal daripada JTKSM sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955. Bermula 1 Januari 2023, surat sokongan yang dikeluarkan oleh JTKSM kepada majikan baharu bagi permohonan pertukaran majikan akan ditukarkan kepada kelulusan penggajian pekerja asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955. Kelulusan JTKSM di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 ini merupakan salah satu kriteria yang akan diambilkira bagi menentukan kelulusan permohonan pertukaran majikan di One Stop Centre (OSC), Kementerian Sumber Manusia.
     
  5. Bagaimanakah majikan ingin membuat permohonan pertukaran majikan?
    Permohonan Pertukaran Majikan hendaklah dibuat melalui emel ptm@mohr.gov.my. Senarai semak permohonan adalah seperti di pautan ini.


PERMOHONAN PENGGAJIAN PEKERJA KESELAMATAN ASING/ PEKERJA DOMESTIK ASING/PEGAWAI DAGANG/NELAYAN ASING/KRU KAPAL/TUKANG MASAK TOMYAM/PAS TRADISI/PAS IKHTISAS

  1. Adakah pekerja asing yang dimaksudkan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 termasuk pekerja keselamatan asing, pekerja domestik asing, pegawai dagang, nelayan asing, kru kapal, tukang masak tomyam, pas tradisi dan pas ikhtisas?
    Ya, pekerja keselamatan asing, pekerja domestik asing, pegawai dagang, nelayan asing, kru kapal, tukang masak tomyam, pekerja pas tradisi dan pekerja pas Ikhtisas merupakan pekerja asing sepertimana yang dimaksudkan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955.
     
  2. Adakah majikan yang ingin menggajikan pekerja keselamatan asing, pekerja domestik asing, pegawai dagang, nelayan asing, kru kapal, tukang masak tomyam, pekerja pas tradisi dan pekerja pas ikhtisas perlu mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada JTKSM sepertimana kehendak seksyen 60K Akta Kerja 1955?
    Ya, majikan yang ingin menggajikan pekerja keselamatan asing, pekerja domestik asing, pegawai dagang, nelayan asing, kru kapal, tukang masak tomyam, pekerja pas tradisi dan pekerja pas Ikhtisas juga perlu mendapatkan kelulusan awal daripada JTKSM sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955.
     
  3. Bagaimanakah majikan ingin membuat permohonan bagi menggajikan pekerja keselamatan asing, pekerja domestik asing, pegawai dagang, nelayan asing, kru kapal, tukang masak tomyam, pekerja pas tradisi atau pekerja pas Ikhtisas?
    Permohonan boleh dibuat melalui PAUTAN ini.


PERMOHONAN PENGGAJIAN WARGANEGARA ASING PEMEGANG PAS PELAJAR, PAS RESIDEN, PESERTA PROGRAM MALAYSIA MY SECOND HOME (MM2H), PESERTA PROGRAM VISA PREMIUM (PVIP) MALAYSIA DAN PEKERJA ASING YANG BERADA RUMAH PERLINDUNGAN

  1. Adakah pekerja asing yang dimaksudkan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 termasuk warganegara asing yang telah berada di dalam negara seperti pemegang Pas Pelajar, Pas Residen, peserta Program Malaysia My Second Home (MM2H), peserta Program Visa Premium (PVIP) Malaysia dan pekerja asing yang berada di rumah perlindungan?
    Ya. Pihak Jabatan Imigresen telah mengeluarkan beberapa jenis pas dengan kebenaran untuk bekerja kepada individu bukan warganegara seperti pemegang Pas Pelajar, Pas Residen, peserta Program Malaysia My Second Home (MM2H), peserta Program Visa Premium (PVIP) Malaysia. Kesemua pas-pas ini merupakan pekerja asing sepertimana yang dimaksudkan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 termasuklah pekerja asing yang berada di rumah perlindungan.
     
  2. Adakah majikan yang ingin mengambil bekerja mana-mana warganegara asing yang memegang Pas Pelajar, Pas Residen, peserta Program Malaysia My Second Home (MM2H), peserta Program Visa Premium (PVIP) Malaysia dan pekerja asing yang berada di rumah perlindungan perlu mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada JTKSM sepertimana Seksyen 60K Akta Kerja 1955?
    Ya, majikan yang ingin mengambil bekerja mana-mana warganegara asing yang memegang Pas Pelajar, Pas Residen, peserta Program Malaysia My Second Home (MM2H), peserta Program Visa Premium (PVIP) Malaysia atau pekerja asing yang berada di rumah perlindungan juga perlu mendapatkan kelulusan awal daripada JTKSM sepertimana Seksyen 60K Akta Kerja 1955.
     
  3. Bagaimanakah majikan ingin membuat permohonan bagi menggajikan warganegara asing yang memegang Pas Pelajar, Pas Residen, peserta Program Malaysia My Second Home (MM2H), peserta Program Visa Premium (PVIP) Malaysia atau pekerja asing yang berada di rumah perlindungan?
    Permohonan boleh dibuat melalui PAUTAN ini. 
8. Apakah penalti yang boleh dikenakan terhadap majikan jika gagal mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955?

Kegagalan mendapatkan kelulusan JTKSM di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 60K(5) Akta Kerja 1955 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

 

9. Apakah tindakan lanjut yang perlu diambil oleh majikan setelah menggajikan pekerja asing atau pekerja domestik asing?

Majikan bertanggungjawab melaporkan penggajian pekerja asing atau pekerja domestik asing sepertimana kehendak Seksyen 60K dan Seksyen 57A(1) Akta Kerja 1955. Pelaporan penggajian pekerja asing atau pekerja domestik asing boleh dibuat melalui borang-borang yang dinyatakan.

10. Apakah tindakan lanjut yang perlu diambil oleh majikan setelah menamatkan perkhidmatan pekerja asing atau pekerja domestik asing?

Majikan bertanggungjawab melaporkan penamatan pekerja asing atau pekerja domestik asing sepertimana kehendak Seksyen 60KA(1) , Seksyen 60KA(2) dan Seksyen 57B(1) Akta Kerja 1955. Pelaporan penamatan pekerja asing atau pekerja domestik asing boleh dibuat melalui borang-borang yang dinyatakan.