Soalan Lazim Instrumen Pembayaran Gaji

Instrumen Pembayaran Gaji

1. Bolehkah majikan membayar gaji pekerja melalui pengeluar instrumen pembayaran?

Majikan boleh membayar gaji pekerja melalui mana-mana pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia
bagi maksud pembayaran gaji pekerja di bawah seksyen 25 Akta Kerja 1955 [Akta 265] tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan
kepada pengeluar instrumen berkenaan berkuatkuasa 1 Ogos 2024.

2. Adakah kebenaran pembayaran gaji pekerja melalui pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia terpakai kepada semua pekerja?

Tidak, pembayaran gaji pekerja melalui pengeluar instrumen pembayaran yang telah diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia hanya dibenarkan untuk pekerja asing (termasuk pekerja domestik dan pegawai dagang). Perkara ini merupakan salah satu daripada syarat-syarat yang ditetapkan kepada pengeluar instrumen pembayaran yang terlibat.

3. Apakah syarat-syarat lain yang telah ditetapkan kepada pengeluar instrumen pembayaran yang telah diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia?

Antara syarat-syarat yang lain ditetapkan kepada pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia adalah seperti berikut :

(i) mendapatkan persetujuan secara bertulis daripada setiap pekerja asing yang terlibat untuk mengguna pakai instrumen pembayaran ini;

(ii) memaklumkan mengenai terma-terma dan syarat-syarat instrumen pembayaran terutamanya berkaitan dengan koskos yang terlibat kepada pekerja asing berkenaan;

(iii) fi maksimum bagi setiap perkhidmatan yang boleh dikenakan kepada pekerja asing adalah sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia sahaja; dan

(iv) kelulusan ini secara automatik terbatal sekiranya Bank Negara Malaysia menarik balik atau membatalkan kelulusan yang diberikan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758] atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759].

4. Bagaimana untuk mengetahui senarai pengeluar instrumen pembayaran yang telah diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia bagi maksud pembayaran gaji pekerja di bawah Akta 265?

Senarai ini boleh dirujuk atau disemak melalui portal JTKSM di www.jtksm.mohr.gov.my.

5. Adakah senarai pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memberi lebih pilihan kepada majikan?

KESUMA boleh menambah senarai pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf bagi maksud pembayaran gaji pekerja sekiranya pengeluar instrumen pembayaran tersebut memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya terdapat keperluan.

6. Bagaimana proses pembayaran gaji pekerja asing dilaksanakan melalui pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia?

Bayaran gaji akan dibuat melalui aplikasi yang disediakan oleh pengeluar instrumen pembayaran yang dipilih oleh majikan.

7. Adakah majikan yang bercadang untuk membayar gaji pekerja asing melalui pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia perlu mendapatkan kelulusan atau permit daripada JTKSM terlebih dahulu?

Tidak perlu. Walau bagaimanapun pengeluar instrumen pembayaran berkenaan perlu mendapatkan persetujuan bertulis daripada pekerja tersebut untuk mengguna pakai kaedah pembayaran gaji melalui instrumen pembayaran.

8. Adakah pekerja asing mempunyai pilihan untuk memilih syarikat pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia bagi tujuan pembayaran gaji?

Pemilihan syarikat pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia bagi tujuan pembayaran gaji adalah budi bicara pihak majikan.

9. Sekiranya pekerja asing telah mempunyai akaun bank atau tiada masalah untuk membuka akaun bank, bolehkah majikan memilih untuk membuat pembayaran gaji melalui pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia?

Boleh dengan syarat pengeluar instrumen pembayaran mendapat persetujuan bertulis daripada pekerja asing tersebut.

10. Adakah pekerja yang dibayar gaji melalui pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia boleh mengeluarkan wang tunai untuk perbelanjaan mereka?

Kesemua syarikat pengeluar instrumen pembayaran tersebut menyediakan kemudahan pengeluaran wang tunai melalui Automated Teller Machine (ATM) untuk kemudahan pekerja mengeluarkan wang tunai.

11. Sekiranya gaji pekerja asing telah dibayar melalui akaun bank, bolehkah majikan menukar kaedah bayaran gaji melalui pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia?

Boleh dengan syarat pengeluar instrumen pembayaran mendapat persetujuan bertulis daripada pekerja.

12. Sekiranya kontrak perkhidmatan pekerja asing mewajibkan pembayaran gaji melalui akaun bank, adakah majikan boleh menukar kaedah pembayaran gaji melalui pengeluar instrumen pembayaran yang telah diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia?

Majikan boleh menukar kaedah pembayaran gaji tertakluk kepada persetujuan pekerja dan pindaan yang sewajarnya dibuat kepada kontrak perkhidmatan pekerja serta pengeluar instrumen pembayaran mendapat persetujuan bertulis daripada pekerja. Namun begitu, kaedah pembayaran gaji melalui pengeluar instrumen tidak terpakai kepada pekerja domestik Indonesia kerana majikan adalah terikat untuk memastikan pembayaran gaji bulanan adalah melalui bank sepertimana yang telah dipersetujui majikan dalam Aku Janji Bagi Penggajian Pekerja Domestik Asing

13. Adakah majikan boleh menukar kaedah pembayaran gaji pekerja asing kepada bayaran melalui akaun bank setelah beberapa waktu menggunakan pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia?

Majikan boleh pada bila-bila masa menukar kaedah pembayaran gaji melalui bank dan hanya perlu memaklumkan kepada pekerja asing yang terlibat

14. Sekiranya pekerja asing tidak bersetuju gajinya dibayar melalui pengeluar instrumen pembayaran yang diikiraf oleh Menteri Sumber Manusia, adakah pekerja berkenaan boleh memohon untuk bayaran gaji dibuat secara tunai?

Pekerja boleh membuat permohonan secara bertulis kepada majikan untuk dibayar gaji secara tunai sepertimana seksyen 25A Akta 265. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada budi bicara majikan untuk membayar gaji secara tunai dan tertakluk kepada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.

15. . Apakah tanggungjawab majikan apabila pengiktirafan yang diberikan oleh Menteri Sumber Manusia kepada pengeluar instrumen pembayaran tamat tempoh atau dibatalkan?

Majikan boleh memilih sama ada untuk menukar kaedah pembayaran gaji kepada bayaran melalui akaun bank ataupun menggunakan pengeluar instrumen pembayaran lain yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia yang masih sah laku.

16. Apakah implikasi sekiranya majikan membuat pembayaran gaji pekerja asing melalui pengeluar instrumen pembayaran selain daripada pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia?

Majikan yang membuat pembayaran gaji pekerja asing melalui pengeluar instrumen pembayaran selain daripada pengeluar instrumen pembayaran yang diiktiraf oleh Menteri Sumber Manusia adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.