Permit Perburuhan
Permit Perburuhan ialah kebenaran rasmi yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja kepada majikan untuk memohon pengecualian atau kelonggaran daripada mematuhi sesetengah peruntukan tertentu dalam Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan)1966 [Akta 350]. Kelonggaran ini biasanya diberikan dengan syarat bahawa ia tidak menjejaskan kebajikan pekerja.
Objektif utamanya adalah untuk:
a) Membantu industri atau majikan tertentu dengan membenarkan penyesuaian kepada undang-undang perburuhan bagi memenuhi keperluan operasi khusus mereka (seperti jadual kerja atau kaedah pembayaran).
b) Memastikan sebarang pengecualian yang diberikan tidak dieksploitasi dan sentiasa mengutamakan perlindungan serta kebajikan pekerja.
Terdapat beberapa perkara di mana majikan perlu memohon permit atau kelonggaran daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja seperti berikut:
a) Perlanjutan tempoh upah
b) Pendahuluan upah
c) Potongan upah
d) Had kerja lebih masa
e) Kelonggaran waktu kerja
f) Pengumpulan hari rehat
g) Skim bayaran insentif yang diluluskan
h) Simpan daftar di Ibu Pejabat/ cara lain
i) Bayaran upah secara tunai/ cek tunai
j) Kelonggaran waktu kerja syif
k) Lesen hiburan awam kanak-kanak dan orang muda
l) Kontrak perantisan
Majikan bertanggungjawab untuk memohon Permit Perburuhan daripada JTKSM sebelum sebarang pengecualian atau kelonggaran tersebut dilaksanakan.
Borang-borang permohonan dan senarai semak dokumen yang diperlukan boleh didapati melalui JTKSM atau laman sesawang https://jtksm.gov.my
Permohonan lengkap hendaklah dihantar ke Pejabat Tenaga Kerja Cawangan yang terdekat dalam dua Salinan.
Permohonan permit perburuhan akan diproses dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan dokumen lengkap oleh Pejabat Tenaga Kerja cawangan dan sekiranya melibatkan kelulusan daripada Ibu Pejabat JTKSM, ianya akan mengambil tempoh tambahan 7 hari.